Bismillah hir Rahman nir Rahim...
Dengan nama Allah...ana nak share lagi beberapa kisah para sahabat yang mulia.. dalam bab peperangan dlm jihad di jalan ALLAH S.W.T..Semoga bermanfaat buat kita yang lemah dalam hanyutan dunia..
1. Do’a Hazrat Abdullah bin Jahsh dan Hazrat Sa’ad r.a.huma
Dalam peperangan Uhud, Hazrat Abdullah bin Jahsh r.a telah berkata kepada Hazrat Sa’ad bin Abi Waqqas r.a, ”Marilah kita berdoa bersama-sama. Setiap orang bedoa sesuai dengan keinginannya dan yang seorang lagi mengaminkan doa itu maka peluang untuk doa itu diterima ialah lebih besar.” Kedua-dua mereka telah pergi ke suatu penjuru dan berdoa.
Mula-mula Hazrat Sa’ad berdoa, ”Ya Allah, esok sewaktu peperangan berlaku, temukanlah untukku seorang lawan yang sangat berani dan dia melawan dengan bersungguh-sungguh. Biarlah dia menyerangku dengan garang dan aku juga menyerangnya dengan hebat. Kemudian kurniakanlah kepadaku kemenangan ke atasnya supaya aku dapat membunuhnya di jalan-Mu dan supaya dapat aku memiliki harta rampasan.” Maka Hazrat Abdullah r.a telah mengatakan ”Amin”.
Selepas itu Hazrat Abdullah r.a pula berdoa, ”Ya Allah, esok dalam medan peperangan, temukanlah aku dengan seorang pahlawan yang akan menyerangku dengan hebat. Aku akan menyerangnya dengan sungguh-sungguh dan dia pun akan melawanku dengan hebat. Kemudian biarlah dia membunuhku lalu memotong hidung dan telingaku. Kemudian pada hari akhirat apabila dibentangkan amalanku di hadapan-Mu, Engkau akan berkata, ”Wahai Abdullah, kenapakah hidung dan telingamu dipotong?” Lalu aku akan menjawab, ”Ya Allah, hidung dan telingaku ini telah dipotong di jalan-Mu dan di jalan Rasul-Mu.” Kemudian Engkau akan berkata, ”Benarlah, ia telah dipotong di jalan-Ku.” Hazrat Sa’ad r.a pun berkata ”Amin”.
Pada keesokan hari, peperangan telah berlaku. Doa kedua-dua mereka telah dimakbulkan sebagaimana yang telah dipinta (Tarikhul-Khamis). Hazrat Sa’ad r.a berkata, ”Doa Abdullah bin Jahsh r.a lebih baik daripada doaku. Pada waktu petang aku dapati telinga dan hidungnya telah dicucuk dengan benang.”
Dalam peperangan Uhud itulah, pedang Hazrat Sa’ad r.a telah patah. Rasulullah S.A.W telah memberi sebatang ranting kepada beliau yang kemudiannya bertukar menjadi pedang sebaik sahaja dipegang oleh beliau. Pedang itu menjadi miliknya untuk beberapa lama dan kemudian dijual dengan harga dua ratus dinar.
2. Keberanian Hazrat Ali r.a dalam Peperangan Uhud.
Orang-orang Islam telah mengalami kekalahan dalam peperangan Uhud. Sebab utama kekalahan tersebut ialah kerana tentera-tentera Islam tidak melaksanakan satu perintah Nabi S.A.W yang kisahnya ada disebut di hadis yang lain. Pada masa itu, orang Islam dikepung oleh orang kafir. Keadaan ini telah menyebabkan ramai tentera Islam gugur syahid dan ada juga yang lari. Rasulullah S.A.W juga telah dikepung oleh satu kumpulan orang kafir. Mereka telah menyebarkan khabar angin bahawa Rasulullah S.A.W telah syahid. Akibat daripada berita tersebut, para sahabat r.a.hum sangat sedih serta susah hati. Oleh kerana itu, ramai di kalangan mereka yang telah lari dan ada yang berpecah ke sana sini.
Hazrat Ali r.a berkata, ”Apabila orang kafir telah mengepung orang-orang Islam dan Rasulullah S.A.W telah hilang daripada pandanganku maka aku telah mencari Baginda S.A.W di kalangan orang yang masih hidup tetapi tidak juga aku temui. Lalu aku mencari Baginda S.A.W di kalangan syuhada. Di situ juga aku tidak menemui Baginda S.A.W. Aku berkata dalam hatiku, ”Tidak mungkin sama sekali Rasulullah S.A.W lari dari medan perang. Nampaknya Allah S.W.T telah murka ke atas kami kerana perbuatan kami. Oleh sebab itu, Allah mengangkat Rasul-Nya yang suci ke langit. Sekarang tidak ada yang lebih baik bagiku kecuali aku juga merempuh ke tengah kumpulan musuh bersama pedangku sehingga aku mati. Aku telah meyerang musuh-musuh dengan pedang sehinggan mereka terlerai dari tengah medan dan serta merta aku ternampak Rasulullah S.A.W.
Aku gembira tidak terkata. Aku yakin bahawa Allah S.W.T telah memelihara kekasih-Nya dengan perantaraan para malaikat. Aku pergi ke sisi Baginda S.A.W dan berdiri di situ. Tiba-tiba satu kumpulan orang kafir telah datang hendak menyerang Rasulullah S.A.W. Baginda berkata, ”Wahai Ali, halaulah mereka.” Aku pun menyerang kumpulan musuh itu berseorangan diri sehinggan aku dapat menghalau mereka dan telah membunuh beberapa orang dari mereka.
Selepas itu, satu lagi kumpulan musuh mara untuk membunuh Rasulullah S.A.W. Baginda pun mengisyaratkan kepadaku. Aku pun menentang mereka berseorangan diri.” Selepas itu Hazrat Jibril a.s datang memuji Hazrat Ali r.a kerana keberanian dan keperwiraannya.
Lalu Rasulullah S.A.W bersabda, ”Sesungguhnya dia daripadaku dan aku daripadanya.” Perkara yang dimaksudkan Rasulullah S.A.W itu ialah penyatuan yang sempurna. Lalu Jibril a.s pun berkata, ”Dan aku daripada kamu berdua.” (Qurratul-’Uyum)
No comments:
Post a Comment