Sunday, May 11, 2008

Kisah Para Sahabat r.a.hum – Tiga Orang Sahabat yang Tidak Menyertai Nabi S.A.W ke Tabuk dan Taubat Mereka.

Bismillah hir Rahman nir Rahim..

Terlalu banyak kisah para sahabat yang menyentuh jiwa, kisah yang syahdu untuk dikongsi bersama. Kisah nih adalah antara kisah sahabat r.a.hum kegemaran ana. Setiap kali baca, mesti hiba, mesti nangis.. Betapa teguhnya iman mereka..betapa mereka lah manusia yang diredhai Allah S.W.T.. ntah bila masanya iman kita akan menjadi seperti mereka.. Ikuti kisah mereka…

Dalam peperangan Tabuk selain daripada mereka yang telah diuzurkan, terdapat lebih daripada lapan puluh orang munafik daripada kalangan Ansar dan hamper sebanyak itu juga daripada kalangan orang-orang badwi yang tidak ikut berperang. Di samping itu terdapat satu kumpulan besar daripada mereka yang tinggal di luar Madinah yang bukan setakat tidak bersama orang-orang Islam sebaliknya menghalang orang lain dengan mengatakan,
“Jangan pergi dalam keadaan panas”.

Maka dijawab oleh Allah S.W.T,

“Katakanlah api jahanam lebih panas lagi.”

Selain daripada mereka itu, terdapat tiga orang sahabat yang benar-benar Islam yang tidak menyertai peperangan itu tanpa sebarang uzur yang kuat. Mereka ialah Hazrat Ka’ab bin Malik r.a, Hazrat Hilal bin Umaiyah r.a dan Hazrat Murarah bin Rabi’ r.a. Mereka bertiga tertinggal bukanlah disebabkan kemunafikan ataupun sebarang keuzuran bahkan kemewahanlah yang menjadi sebab ketinggalan mereka. Hazrat Ka’ab r.a akan menceritakan segala-galanya yang telah berlaku tentang peristiwa ini secara terperinci.

Kebun Kurma Hazrat Murarah bin Rabi’ r.a sedang berbuah lebat. Beliau telah berfikir “Sekiranya aku pergi maka semua ini akan sia-sia. Aku sentiasa menyertai pelbagai peperangan maka tidak menjadi kesalahanku jika aku tertinggal pada kali ini.” Oleh sebab itu, beliau tidak menyertai peperangan tersebut. Namun demikian, setelah sedar beliau telah menyedekahkan semua kebunnya pada jalan Allah kerana kebun itulah yang menjadi sebab beliau tertinggal dalam peperangan.

Sementara Hazrat Hilal bin Umaiyah r.a pula, pada masa itu beliau sibuk melayani saudara-maranya yang secara kebetulan telah datang berhimpun di Madinah setelah lama berpergian di merata tempat. Beliau pun telah berfikir, “Aku selalu menyertai peperangan, apa salahnya hanya pada kali ini aku tidak pergi?” kerana itulah beliau tidak menyertai peperangan tersebut. Apabila telah sedar, beliau berniat untuk memutuskan perhubungan dengan semua kaum keluarganya kerana perhubungan itulah yang menjadi punca beliau tidak menyertai peperangan tersebut.

Kisah Hazrat Ka’ab bin Malik r.a banyak didapati dalam hadis-hadis. Beliau sering menceritakan segala yang beliau alami dengan panjang lebar. Beliau berkata, “Aku tidak pernah mempunyai kekuatan dan harta dalam mana-mana peperangan pun sebelum ini sebagaimana keadaanku semasa peperangan Tabuk. Pada masa itu, aku telah memiliki dua ekor unta untuk diriku sendiri. Sebelum ini aku tidak pernah mendapat peluang seperti mana sekarang ini( memiliki dua ekor unta ). Kebiasaanya Baginda S.A.W tidak menjelaskan tempat peperangan akan berlaku. Sebaliknya Baginda S.A.W akan bertanya tentang arah-arah lain.

Namun demikian, untuk peperangan ini, disebabkan cuaca yang tersangat panas dan perjalanan yang amat jauh serta bilangan musuh yang ramai maka Baginda S.A.W telah membuat pengisytiharan terbuka tentang tempat peperangan supaya orang ramai membuat persediaan. Oleh itu satu jemaah yang besar telah bersedia hinggakan sukar untuk menulis nama-nama mereka dalam buku catatan. Perhimpunan telah menjadi begitu besar. Seandainya ada orang yang ingin menyorok untuk melepaskan diri dari pergi berperang dan supaya tidak dapat dikesan maka tidaklah susah baginya.

Disamping itu, buah-buah tamar sedang masak. Setiap hari aku berniat untuk menyediakan bekalan perjalanan untuk peperangan tersebut. Sejak pagi lagi, aku berniat untuk menyediakan bekalan perjalanan, tetapi sehingga petang tidak ada apa-apa pun yang tersedia. Walau bagaimanapun, aku terus berfikir dalam hati bahawa aku mempunyai kemudahan, sekiranya aku mentekadkan azam maka segala-galanya akan berjalan dengan lancar.



Sehinggalah waktu Rasulullah S.A.W bertolak bersama kaum muslimin yang lain, bekalan perjalanan ku masih belum tersedia. Namun demikian aku masih berfikir dan bertekad, dalam sehari dua aku akan bersedia dan akan pergi menyertai Nabi S.A.W. Demikianlah berlaku hari demi hari silih berganti sehingga lah hampir tiba masa Nabi S.A.W sampai ke Tabuk. Pada masa itupun, aku masih berusaha untuk menyediakan bekalan tetapi tidak juga berjaya.. Apabila aku melihat di sekitar Madinah, aku telah mendapati mereka yang telah dikenali dengan kemunafikan ataupun mereka yang telah benar-benar uzur sahaja yang tinggal.

Apabila Rasulullah S.A.W tiba di Tabuk, Baginda S.A.W telah bertanya, “Ka’ab tidak kelihatan, apakah yang telah berlaku?”

Seorang lelaki telah menjawab, “Kebanggaan terhadap kemewahan hidup telah menghalang beliau.”

Hazrat Mu’az berkata, “Dia telah mengatakan sesuatu yang silap. Sejauh yang kami tahu, Ka’ab ialah seorang yang baik.”

Rasulullah S.A.W sama sekali diam dan tidak berkata apa-apa. Sehinggalah beberapa hari kemudian aku telah mendengar berita tentang kepulangan baginda S.A.W. Berita itu menyebabkan aku sedikit risau dan runsing serta berfikir panjang. Dalam hati, terlintas berbagai-bagai alasan yang direka yang akan ku kemukakan demi menyelamatkan diri dari kemurkaan Baginda S.A.W dan selepas itu aku akan meminta maaf kepada Baginda S.A.W.

Aku juga bermesyuarat dengan orang-orang yang bijaksana di kalangan keluarga ku. Namun setelah aku mengetahui bahawa Nabi S.A.W akan pulang maka hatiku telah membuat keputusan bahawa tanpa sifat benar, tiada satu perkara pun yang boleh memberi kelepasan untuk ku dan aku telah bertekad untuk bercakap benar!..

Menjadi kebiasaan Rasulullah S.A.W apabila pulang dari mana-mana perjalanan, mula-mula sekali baginda S.A.W akan pergi ke masjid dan menunaikan dua rakaat solat tahiyyatul masjid. Baginda S.A.W akan berada di sana beberapa ketika untuk bertemu orang ramai. Pada hari itu pun, Baginda S.A.W telah pergi ke masjid sebagaimana biasa dan orang-orang munafik mula datang dan dengan bersumpah mereka mengemukakan alasan mereka yang dusta. Baginda S.A.W menerima keadaan zahir mereka dan menyerah urusan batin mereka kepada Allah S.W.T.

Dalam pada itu, aku pun mendekati Nabi S.A.W dan memberi salam kepada baginda. Rasulullah S.A.W hanya senyum dan berpaling dariku.

Aku menjadi runsing dan berkata, “Wahai rasulullah, tuan berpaling daripada saya? Saya bersumpah dengan nama Allah, bukanlah saya seorang munafik dan tidak juga ada keraguan terhadap iman saya.”

Nabi S.A.W berkata, “Datanglah ke sini.” Aku menghampiri baginda S.A.W dan terus duduk. Baginda bertanya, “Apakah yang telah menghalangmu? Tidak kah kamu telah membeli beberapa ekor unta?”

Aku menjawab, “Wahai Rasulullah, seandainya pada masa ini aku berada di sisi mana-mana ahli dunia, aku berkeyakinan akan mendapat kelepasan daripada keadaan ini dengan alasan yang boleh diterima akal kerana Allah S.W.T telah mengurniakan kefasihan bercakap kepadaku. Apabila bersama tuan, aku mengetahui bahawa sekiranya hari ini aku dapat menyukakan tuan dengan pembohongan, tidak lama nanti Allah S.W.T pasti memurkai ku. Jika aku berterus terang dengan tuan maka tuan akan memarahi ku tetapi kemarahan itu tidak lama. Allah akan menghilangkan kemarahan tuan. Oleh sebab itulah aku ingin berterus terang, demi Allah aku tidak ada apa-apa keuzuran dan sebelum ini aku tidak pernah mengecap kelapangan dan kesenangan seperti mana sekarang ini.”

Baginda S.A.W telah bersabda, “Dia bercakap benar.” Lalu bersabda, “Pergilah kamu, ketentuan untuk kamu akan diputuskan sendiri oleh Allah S.W.T.”

Setelah meninggalkan majlis itu, ramai daripada kalangan kaum ku dating dan mencemuh, “Sebelum ini kamu tidak pernah melakukan apa-apa dosa. Sekiranya kamu memberi alasan, kemudia kamu memohon agar Baginda S.A.W beristighfar untuk kamu maka istighfar Baginda sudah cukup kamu.” Aku bertanya kepada mereka, “Adakah sesiapa lagi yang diperlakukan seumpama ini?”

Orang ramai memberitahu bahawa ada dua orang lagi diperlakukan seperti ini. Mereka juga berkata sebagaimana yang aku katakana dan mendapat jawapan yang sama daripada Baginda S.A.W. Mereka adalah Hazrat Hilal bin Umaiyah dan Hazrat Murarah bin Rabi’ r.a.huma. Aku lihat mereka adalah dua lelaki soleh dan juga Badri (gelaran bagi setiap sahabat yg menyertai peperangan Badar) serta mengalami keadaan yang sama seperti diriku. Rasulullah S.A.W juga telah melarang orang ramai daripada bercakap-cakap dengan kami bertiga.

Disebabkan larangan Rasulullah S.A.W itu orang ramai tidak bercakap dengan kami dan mula menjauhkan diri daripada kami. Aku telah merasakan bahawa dunia ini telah berubah hinggakan aku merasa bahawa bumi yang sedemikian luas ini telah menjadi sempit untuk ku. Setiap orang menjadi asing bagi diriku.. Laa hau la wala quwwata iLlah biLlahil a’liyyul a’zim..

Perkara yang amat aku runsingkan adalah andainya aku meninggal dunia tanpa mendapat keampunan Allah dan Rasul-Nya, Rasulullah S.A.W tidak akan menyembahyangkan aku dan kalaulah Rasulullah yang wafat terlebih dahulu, maka aku akan tinggal dalam keadaan demikian untuk selama lamanya tanpa mendapat redha Allah dan Rasul-Nya. Tiada siapa pun yang bercakap dengan ku dan tiada siapa pun yang akan menyembahyangkan jenazah ku. SubhanALlah..aku berada dalam keadaan yang tertekan dan kami berada dalam keadaan sedemikian selama lima puluh hari.

Sejak mula lagi, sahabat2ku yang berdua lagi hanya tinggal di rumah mengurungkan diri. Aku lah yang paling tabah di kalangan mereka. Aku ke sana, aku ke sini, pergi ke pasar, menyertai solah berjemaah tetapi tiada seorang pun yang mempedulikan aku. Aku akan menghadiri majlis majlis Nabi S.A.W dan memberi salam kepada Baginda S.A.W. Dalam penuh perhatian aku merenung bibir Baginda sama ada bergerak untuk menjawab salam ku atau tidak?

Selepas selesai solat fardhu aku pasti akan mendekati baginda untuk solat sunat dan mataku akan mencuri curi pandang ke arah Baginda S.A.W sama ada baginda memandangku atau tidak. Namun, aku terperasan semasa aku dalam solat, baginda akan memandangku dan apabila aku selesai solat dan berpaling ke arahnya, baginda akan mengalihkan wajahnya dan memalingkan diri dariku.. Betapa sukar hidupku dalam keadaan demikian tanpa pandangan Rasulullah S.A.W.

Begitulah keadaan terus berlalu. Keadaan orang Islam tidak bercakap-cakap dengan ku amat membebankan diriku lalu aku pun memanjat dinding rumah Hazrat Abu Qatadah r.a. Beliau ialah sepupu ku dan mempunyai perhubungan yang rapat dengan ku. Setelah memanjat ke atas, aku pun memberi salam. Beliau tidak menjawab salam ku. Seterusnya aku bertanya dengan bersumpah, “Tidakkah kamu tahu bahawa aku ini kasihkan Allah dan Rasul-Nya?”

Soalan ini tidak dijawab beliau. Sekali lagi aku bersumpah dan bertanya soalan yang sama. Beliau pun masih senyap dan tidak berkata apa-apa. Untuk kali ketiga aku bersumpah dan bertanya lagi. Beliau menjawab, “Hanya Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Allahuakbar!

Mendengarkan jawapannya, air mata ku terus mengalir dan aku pun terus pulang.

Pada suatu hari, semasa mengalami keadaan demikian, sedang aku berjalan di pasar Madinah aku terpandang seorang Qibti (orang berbangsa mesir) yang merupakan penganut Nasrani. Dia datang ke Madinah dari Sham untuk menjual hasil pertaniannya. Dia berkata, “Siapakah yang akan menunjukkan kepadaku Ka’ab bin Malik?”

Orang ramai telah menunjukkan kearah ku. Lalu dia datang kepada ku dan menyerahkan surat raja negeri Ghassan yang kafir itu kepada ku. Dalam surat itu tertulis, “Kami telah mendapat khabar bahawa tuan kamu telah menganiyai kamu. Semoga Allah tidak meletakkan kamu di tempat yang hina dan tidak juga mensia-siakan kamu. Datanglah kepada kami, kami akan membantu kamu.” Sebaik sahaja aku membaca surat tersebut, aku terus mengucapkan “Inna lillahi wainna ilaihi raji’un”.

Keadaan ku telah menjadi sedemikian rupa hinggakan orang kafir pun ingin memperdayakan aku dan merancang untuk menghalang aku daripada Islam dengan berbagai-bagai cara. Ini sebenarnya satu lagi musibah yang menimpa ku. Aku telah membawa surat itu dan terus mencampakkan surat itu ke dalam api dapur yang menyala. Selepas itu aku terus pergi menemui Rasulullah S.A.W dan berkata, “Sikap tuan tidak mengendahkan saya menyebabkan saya berada dalam keadaan yang begitu dasyat sehinggakan orang kafir pun beriya untuk memesongkan saya.”

Setelah empat puluh hari berlalu dalam keadaan demikian, datanglah seorang utusan Nabi S.A.W dengan membawa perintah daripada Baginda S.A.W supaya aku meninggalkan isteriku. Aku bertanya, “Apakah yang dikehendaki Nabi S.A.W? Adakah aku harus menceraikannya?”

Jawab beliau, “Tidak, Cuma asingkan diri daripadanya.”
Utusan yang sama juga telah pergi menemui dua sahabatku dengan membawa perintah yang sama. Aku telah berkata kepada isteriku, “Pergilah kamu kepada keluargamu. Tinggallah di sana sehingga Allah S.W.T membuat keputusan terhadap perkara ini.”

Isteri Hazrat Hilal bin Umaiyah telah pergi berjumpa Nabi S.A.W dan memohon kepada Baginda S.A.W, “Hilal r.a ialah seorang yang sangat tua. Jika tiada yang menguruskan beliau maka beliau akan binasa. Sekiranya tidak keberatan bagi pihak tuan izinkanlah saya untuk melakukan sedikit sebanyak khidmat untuk beliau.”

Rasulullah S.A.W bersabda, “Tidak ada halangan sekiranya kamu tidak bersetubuh.” Beliau berkata, “Ya Rasulullah, beliau sudah tidak ada keinginan untuk itu. Semenjak peristiwa itu, sehingga hari ini beliau hanya menghabiskan masanya dengan menangis.”

Hazrat Ka’ab r.a berkata, “Ada orang yang mengesyorkan kepada aku jika kamu pergi meminta kebenaran untuk isterimu berkhidmat kepadamu sebagaimana Hilal r.a maka mungkin juga kamu akan dibenarkan.” Aku menjawab, “Beliau telah tua sementara aku masih muda, tidak tahu apakah jawapan yang bakal ku terima nanti? Oleh sebab itu, aku tidak akan memberanikan diriku untuk merayu.”

Sepuluh hari berlaku dalam keadaan demikian, Kami dilarang dari bercakap dan berjumpa sesiapa sehingga genap lima puluh hari. Pada hari kelima puluh, selepas menunaikan solat subuh aku duduk di atas bumbung rumah dengan penuh dukacita. Dunia begitu sempit bagiku dan untuk meneruskan hidup merupakan suatu yang beban bagi ku. Tiba-tiba dari puncak bukit Sala’ kedengaran suara seorang hamba Allah melaung, “Ka’ab! Berita gembira buatmu.” Mendengarkan suara itu aku terus merebahkan diriku sujud dan menangis kegembiraan kerana meyakini bahawa kesusahan telah berakhir.subhanALlah..

Rasulullah S.A.W telah mengisytiharkan pengampunan untuk kami selepas solat subuh. Dengan itu seorang lelaki telah memanjat bukit dan melaungkan dengan kuat. Suaranya lah yang mula-mula sampai ke pendengaranku. Tidak lama kemudian seorang pembawa berita yang menunggang kuda datang dengan begitu pantas. Oleh kerana terlalu gembira, aku telah menghadiahkan pakaian yang sedang aku pakai kepadanya. Demi Allah, pada masa itu, aku tidak mempunyai pakaian selain daripada dua helai tersebut. Selepas itu aku telah memakai dua helai kain yang dipinjam dan pergi menemui Rasulullah S.A.W. demikian juga orang ramai telah menyampaikan berita gembira itu kepada dua lagi sahabat ku.

Apabila aku tiba di Masjid Nabi, mereka yang sedang berada di majlis Baginda S.A.W bangun dan berlari-lari untuk mengucapkan tahniah kepada ku. Hazrat Abu Talhah r.a ialah orang pertama yang sampai, lalu mengucapkan tahniah dan bersalam dengan ku. Ini lah peristiwa yang tidak akan aku lupakan.

Aku pergi berjumpa dengan Nabi S.A.W dan memberi salam kepada baginda. Wajah baginda S.A.W berseri-seri. Cahaya kegembiraan terserlah dari wajah baginda S.A.W. Sememangnya dalam keadaan gembira wajah baginda akan bercahaya seumpama bulan purnama. Aku berkata, “Wahai Rasulullah, sebagai menyempurnakan taubatku, aku ingin membelanjakan semua harta ku di jalan Allah. (kerana keyakinan inilah yang menyebabkan aku berdosa).”

Rasulullah S.A.W bersabda, “Kalau begitu, nanti kamu akan kesempitan. Tinggalkanlah sedikit untukmu.”

Aku menjawab, “Baiklah, aku akan tinggalkan bahagian ku yang diperoleh di Khaibar. Bercakap benarlah yang telah menyelamatkan diriku. Oleh sebab itu aku berjanji untuk sentiasa bercakap benar.” (Durrul-Manthur, Fathul-Bari).

Keterangan
Ana suka betul baca kisah nih…subhanALlah.. seperti yang diketahui, Nabi Muhammad S.A.W bukan sahaja menjadi kekasih Allah Tuhan azza wajalla, bahkan juga baginda adalah kekasih umat muslimin di zaman itu (di zaman ini juga insyaAllah ta’ala). Menjadi suatu adat, bila seorang kekasih merajuk atau berkecil hati dengan pasangannya.. pasangan tersebut akan sedaya upaya untuk menambat hati kekasih tersebut. Dalam kisah ini, matlamat utama para sahabat tak lain tak bukan hanyalah Allah dan Rasul-Nya..

Betapa kita sedihnya bila kekasih hati yang dicintai, yang dipuja, tak nak pandang kita, tak nak tegur, tak nak balas cinta.. hanya disebabkan kesalahan yang dicipta sendiri. Bahkan perasaan cinta Ka’ab r.a kepada kekasihnya (Allah dan Rasul-Nya) disalah erti bila sahabat Abu Qatadah r.a menegaskan cukuplah Allah dan Rasul-Nya yang tahu sama ada Hazrat Ka’ab berdusta tentang perasaannya atau tidak.. SubhanALlah…Tapi akhirnya, berkat sabar.. taubat yang tak putus2, keyakinan yang teguh, keimanan yang mantap, hasil dari bercakap benar..alhamduliLlah segala puji hanya bagi-Nya yang Maha Pengampun, yang amat Pengasih, amat Penyayang…

Inilah dia contoh ketaatan dan sifat keagamaan serta ketakutan kepada Allah S.W.T yang ada pada diri sahabat r.a hum. SubhanALlah. Ketaatan mereka dalam mengharungi lima puluh hari sangat mengagumkan. Hari-hari dihabiskan hanya dengan tangisan. Harta yang menjadi sebab berlakunya peristiwa itu telah disedekahkan. Orang kafir yang cuba memperdayakannya, beliau tidak terpedaya sebaliknya merasa malu dan menyesal..kerana Hazrat Ka’ab r.a menganggap ianya adalah kerana kelemahan agamanya sendiri akibat dari kemurkaan Allah S.W.T dan kemarahan Nabi S.A.W.

Sebagaimana para sahabat, kita juga orang Islam. Sebagaimana perintah Allah dan Rasul-Nya, mereka amat takut bila melakukan sesuatu perkara yang dengannya menimbulkan kemurkaan Allah.. takut taubat mereka tak diterima Allah.. bagaimana halnya kita? Mereka yang diredhai Allah dan Allah redha atas mereka merasa sempitnya dunia ini andainya mendapat kemurkaan Allah…bagaimana hal nya diri ini?? Yang terlalu hina dan kerdil di sisi-Nya? Tapi masih lalai dan leka dan menganggap perintah Allah dan Rasul-Nya seperti angin lalu.. Maha suci Allah…

Kisah Sahabat Dipetik dari Kitab Fadhilat Amal – Kisah Para Sahabat (Shaikhul Hadith Hazrat Maulana Muhammad Zakariyya rah.a)

1 comment:

SAIFULLOHULMASLUL said...

sedih tul la kisah ni.. mengalir air mata bila baca ketbahan sahabat2 ni...