"Maka ingatlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku ingat kepadamu dan berterima kasihlah kepada-Ku dan janganlah kamu menyangkal (nikmat-Ku)" Al-Baqarah 152
Saturday, May 17, 2008
Fadhilat al-Quran
Hadis 1
Hazrat Anas Radiallahu anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, “sesungguhnya Allah subhana wa ta’ala mempunyai ahli-ahli daripada kalangan manusia.” Para Sahabat bertanya, “Siapakah mereka ya Rasulullah?” Baginda S.A.W menjawab, “Orang al-Quran adalah ahli-ahli Allah S.W.T dan orang Allah S.W.T yang istimewa.” (Hadis Riwayat Nasai, Ibnu Majah, al-Hakim dan Ahmad)
Keterangan Hadis
‘Orang al-Quran’ adalah mereka yang sentiasa sibuk membaca al-Quran dan mempunyai hubungan yang istimewa dengan al-Quran. Sudah jelas bahawa mereka lah ahli Allah S.W.T dan orang Allah S.W.T yang istimewa. Telah nyata bahawa apabila seseorang itu sentiasa sibuk dengan al-Quran maka kasih sayang Allah azza wajalla juga sentiasa tertumpu kepadanya.
Sesiapa yang sentiasa berada bersama seseorang pastilah dia ahli orang itu dan menjadi orang yang istimewa baginya. Betapa besarnya fadhilat ini SubhanALLAH, hanya dengan usaha dan susah payah yang sedikit sahaja dapat menjadi orang Allah S.W.T dan dikira sebagai ahli Allah azza wajalla dan mendapat kemuliaan sebagai orang istimewa-Nya.
Hadis 2
Daripada Hazrat Abu Hurairah r.a, RasuluLlah S.A.W bersabda, “Tidaklah berkumpul orang di salah satu rumah-rumah Allah S.W.T (masjid), membaca al-Quran dan membaca seorang daripada mereka kepada yang lain melainkan diturunkan ‘sakinah’ ke atas mereka, rahmat meliputi mereka, para malaikat mengelilingi mereka dan Allah azza wajalla menyebut nyebut mereka di kalangan malaikat yang berada di sisi-Nya.” (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud)
Keterangan Hadis
Turunnya ‘sakinah’ telah disebutkan dalam banyak hadis. Terdapat beberapa pendapat di kalangan para ulama hadis mengenai maksud ‘sakinah’. Diriwayatkan bahawa Hazrat Ali r.a menafsirkan ‘sakinah’ sebagai sejenis bayu yang istimewa yang berwajah seperti wajah manusia. Dinukilkan bahawa ‘Allamah Suddi rah. menyatakan ‘sakinah’ ialah nama sebuah mangkuk emas di dalam syurga. Di dalam mangkuk inilah hati-hati para Nabi ‘alahi salam dicuci.
Sesetengah ulama yang lain berpendapat bahawa ‘sakinah’ adalah satu rahmat yang istimewa. Imam Tibri rah. pula bersetuju bahawa yang dimaksudkan dengan ‘sakinah’ adalah ketenteraman hati. Sebahagian yang lain pula mengatakan ‘sakinah’ sebagai ketengan jiwa. Sesetengah ulama menfsirkan ‘sakinah’ sebagai ‘waqar’ (sifat jati diri) dan yang lain pula menafsirkan ‘sakinah’ sebagai malaikat-malaikat. Imam Nawawi rah. berpendapat bahawa ‘sakinah’ merupakan suatu perkara yang terhimpun daripada ketenangan, rahmat dan sebagainya dan turun bersama-sama para Malaikat. Allah S.W.T berfirman dalam al-Quran:
‘Maka Allah menurunkan ketenanganNya ke atasnya (Muhammad S.A.W)’. At-Taubah : 40.
Dalam ayat yang lain Allah S.W.T berfirman:
‘Dialah yang menurunkan ‘sakinah’ ke dalam hati-hati orang mukmin.’ Al-Fatah : 4.
Hadis 3
Hazrat Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, “Allah S.W.T tidak pernah memberi perhatian terhadap sesuatu sebagaimana Dia memberi perhatian kepada seseorang nabi yang membaca al-Quran dengan suara lunak merdu.” (Hadis Riwayat Bukhari).
Keterangan Hadis
Telah diketahui sebelum ini bahawa Allah S.W.T memberi perhatian yang istimewa kepada perkataan-Nya sendiri. Antara pembaca al-Quran ialah para nabi ‘alaihi salam dan pastinya mereka membaca mengikut kaedah-kaedah pembacaan yang sempurna.
Hadis 4
Hazrat Jabir r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, “Al-Quran adalah pemberi syafaat yang syafaatnya diterima dan sebagai pembela yang pembelaannya dibenarkan. Sesiapa meletakkan al-Quran di hadapan, al-Quran akan membawanya ke syurga, sesiapa meletakkan al-Quran di belakang maka al-Quran akan mencampakkannya ke dalam neraka.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban dan al-Hakim).
Keterangan Hadis
Hadis ini bermaksud bahawa jika al-Quran mensyafaati sesiapa sahaja, syafaat al-Quran itu diterima Allah S.W.T. Maksud daripada ‘pembelaan al-Quran, yakni al-Quran akan merayu di mahkamah Allah azza wajalla bagi meninggikan darjat mereka yang menuru perintah-perintah. Sementara mereka yang tidak menunaikan hak-hak, al-Quran akan menuntut, “Kenapa engkau tidak menunaikan hak-hakku?” Sesiapa sahaja yang menyimpan al-Quran dengan baik yakni menurut perintah Allah melalui al-Quran dan menjadikannya peraturan hidup maka al-Quran akan membawa orang itu ke syurga. Manakala, sesiapa yang membelakangkan al-Quran yakni tidak mengikutinya maka tidak ragu-ragu lagi al-Quran akan mencampakkannya ke dalam api neraka.
Hadis 5
Hazrat ‘Abdullah bin ‘Amr r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, “Puasa dan al-Quran akan meminta syafaat untuk seseorang. Puasa akan memohon, “Ya Allah, aku telah menghalangnya daripada makan dan minum pada siang hari maka Engkau terimalah syafaatku ini untuknya.” Al-Quran pula berkata “Ya Allah, aku telah menghalangnya daripada tidur pada waktu malam maka terimalah syafaatku untuknya.” Maka kedua-dua syafaat itu akan diterima.” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Dunia, Tabrani dan Hakim).
Keterangan Hadis
Adalah diberitakan dalam beberapa hadis bahawa al-Quran akan dating sebagai seorang pemuda dan berkata, “Sayalah yang telah menyebabkan engkau berjaga malam dan menyebabkan engkau haus pada waktu siang.” Hadis ini juga membayangkan tuntutan terhadap al-Quran ialah membaca al-Quran dalam solat sunat pada waktu malam. Dalam al-Quran sendiri terdapat beberapa ayat yang menggalakkan amalan tersebut.
Justeru, didapati bahawa Rasulullah S.A.W dan para sahabat r.hum kadang-kadang membaca al-Quran sehingga seluruh malam berlalu. SubhanALlah… Diriwayatkan mengenai Hazrat ‘Uthman r.a bahawa kadangkala beliau membaca seluruh al-Quran pada waktu malam dalam satu rakaat witir sahaja. Keadaan yang sama juga dilakukan oleh Hazrat ‘Abdullah bin Zubair r.a, beliau selalu membaca seluruh al-Quran dalam satu malam sahaja. Hazrat Sa’id bin Jubair rah. membaca seluruh al-Quran dalam dua rakaat solat di dalam Ka’bah. Demikianlah juga keadaan ramai lagi ahlullah (orang yang hampir dengan Allah S.W.T) yang lain sebagaimana yang diceritakan oleh Hazrat Muhammad bin Nasr rah. dalam kitabnya Qiyamul-Lail. Wallahu’alam.
Dipetik dari Kitab Taklim Fadhilat Amal (Fadhilat Quran).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment