Sunday, June 15, 2008

Kisah Para Sahabat r.a.hum (Bab - Semangat Keagamaan Kanak-kanak)

1. Menyuruh Kanak-kanak Berpuasa

Hazrat Rubayyi’ binti Muawwiz r.anha telah berkata, ”Rasulullah S.A.W telah mengiklankan, ”Hari ini ialah hari Asyura (10 Muharram), hendaklah kamu berpuasa.” Selepas itu kami selalu berpuasa dan menyuruh anak-anak kami berpuasa. Apabila mereka menangis kelaparan, kami akan memujuk mereka dengan permainan yang dibuat dari kapas. Mereka akan dibiarkan bermain sehingga waktu berbuka puasa.” [Bukhari]

2. Hazrat ’Umair r.a Menyembunyikan Diri Ketika Peperangan Badar

Hazrat ’Umair bin Abi Waqqas r.a ialah seorang sahabat yang muda. Beliau telah memeluk islam sejak awal lagi. Beliau ialah adik kepada Hazrat Sa’ad bin Abi Waqqas r.a seorang sahabat yang masyhur. Hazrat Sa’ad r.a berkata, ”Dalam peperangan Badar, semasa tentera sedang bersiap sedia untuk bertolak, saya melihat adik saya berjalan ke sana sini menyembunyikan diri supaya tiada seorang pun yang menyedari kehadirannya. Saya sangat hairan melihat keadaannya itu. Saya pun bertanya kepadanya, ”Apakah yang telah berlaku? Kenapa kamu ke sana dan ke sini menyembunyikan diri?”

Beliau menjawab, ”Saya takut Rasulullah S.A.W akan nampak saya lalu melarang saya daripada menyertai peperangan kerana menganggap saya masih kecil. Jika demikian, saya tidak dapat pergi. Saya ingin sekali menyertai peperangan. Mudah-mudahan Allah S.W.T akan mengurniakan kepada saya kesyahidan dengan apa-apa cara sekalipun.”

Akhirnya apabila pasukan tentera diajukan untuk diperiksa kepada Nabi S.A.W maka kebimbangannya menjadi kenyataan. Rasulullahh S.A.W telah melarangnya kerana umurnya yang masih muda. Walau bagaimanapun, keinginan yang sungguh-sungguh menyebabkan beliau tidak dapat menahan perasaan lalu menangis.

Setelah Rasulullah S.A.W mengetahui tentang keghairahan dan tangisannya itu maka Baginda S.A.W pun membenarkannya. Beliau telah menyertai peperangan dan cita-citanya yang kedua pun telah tertunai yakni beliau telah syahid di dalam peperangan tersebut.

Hazrat Sa’ad r.a berkata, ”Disebabkan badannya yang kecil dan pedangnya yang besar, saya terpaksa menyimpul tali di pinggangnya beberapa kali supaya pedang itu tinggi sedikit.” [Isobah].

3. Dua Orang Budak Ansar Membunuh Abu Jahal.

Hazrat Abdul Rahman bin A’uf r.a ialah seorang sahabat yang besar lagi masyhur. Beliau berkata, ”Semasa peperangan Badar saya berdiri dalam barisan pejuang-pejuang. Saya melihat di kiri kanan saya ada dua orang budak Ansar. Saya terfikir alangkah baiknya kalau saya berada antara orang-orang yang kuat. Apabila ada keperluan, boleh tolong menolong antara satu sama lain. Di kedua dua tepi saya hanya ada budak sahaja. Apakah yang boleh mereka tolong? Tiba-tiba salah seorang daripada mereka memegang tangan saya lantas bertanya, ”Pakcik, adakah pakcik kenal Abu Jahal?”

Saya berkata, ”Ya, saya kenal. Apakah yang kamu kehendaki?”

Budak itu menjawab, ”Saya mendengar bahawa dia telah mencaci Rasulullah S.A.W. Demi Zat yang memegang nyawaku dalam genggaman-Nya, jika saya melihatnya maka saya tidak akan meninggalkannya selagi dia tidak mati ataupun saya yang akan mati.”

Saya begitu kagum dengan jawapannya itu. Kemudian budak yang kedua juga bertanya soalan yang sama dan dia juga berkata sebagaimana yang dikatakan oleh budak yang pertama tadi. Kebetulannya saya terpandang Abu jahal sedang berlari-lari di medan perang. Saya pun berkata kepada mereka, ”Itulah dia orang yang kamu tanyakan kepadaku.”

Mendengarkan itu, mereka berdua terus berlari dengan perang terhunus di tangan. Mereka berdua pergi ke sana dan mula menyerang dengan pedang sehinggalah Abu Jahal dapat dijatuhkan. [Bukhari].

Keterangan

Kedua-dua budak tersebut ialah Hazrat Mu’az bin ’Amr bin Jamuh r.a dan Hazrat Mu’az bin Afra’ r.a. Hazrat Mu’az bin ’Amr r.a berkata, ”Saya mendengar orang ramai berkata bahawa tiada siapa pun yang boleh membunuh Abu Jahal. Dia dikawal begitu rapi. Daripada saat itulah saya terfikir bahawa saya mesti membunuhnya.”

Kedua-dua budak itu berjalan kaki sementara Abu Jahal pula menunggang kuda. Ketika Hazrat ’Abdul Rahman r.a melihatnya dan ketika kedua-dua budak itu berlari ke arahnya, Abu Jahal sedang membetulkan barisan-barisan tentera. Oleh sebab dia sedang menunggang kuda maka susah untuk menyerangnya. Oleh sebab itu, salah seorang daripada budak-budak itu menyerang kuda dan seorang lagi menyerang kaki Abu Jahal.

Akibat serangan itu, kuda itu pun rebah dan Abu jahal pula jatuh dan tidak dapat bangun lagi. Kedua-dua budak itu telah menyerangnya begitu sekali sehingga dia tidak dapat bangun lagi sebaliknya dia terus menggelupar di situ kemudian barulah mereka meninggalkannya. Hazrat Mu’awwiz bin Afra’ r.a saudara Hazrat ’Amr bin Afra’ r.a telah menambahkan lagi kecederaan abu jahal supaya dia tidak dapat melarikan diri. Namun beliau tidak terus membunuhnya. Selepas itu, Hazrat Abdullah bin Mas’ud r.a telah memenggal kepalanya.

Mu’az bin ’Amr r.a berkata, ”Sewaktu saya menyerang kaki abu jahal, anaknya ’Ikramah ada bersama. Dia telah menyerang bahagian bahu saya yang menyebabkan tangan saya terpotong tetapi tinggal sedikit kulit yang menyebabkan tangan saya itu tergantung-gantung. [Asadul-Ghabah].

Saya telah meletakkan tangan yang tergantung itu di belakang saya dan sepanjang hari saya berperang dengan sebelah tangan. Apabila keadaan tangan saya yang tergantung itu menyusahkan saya maka saya telah menekan tangan itu di bawah kaki dan merentap dengan kuat. Tangan itu pun terpisah dari tempat ia tergantung dan saya telah membuang tangan itu.” [Tarikhul-Khamis].

4. Hazrat ’Amr bin Salamah r.a Menghafal Al-Quran Ketika Masih dalam kekufuran.

’Amr bin Salamah r.a berkata, ”Kami tinggal di suatu tempat yang terletak dalam perjalanan ke Madinah. Mereka yang keluar masuk ke Madinah akan lalu di kampung kami. Kami akan bertanya kepada mereka yang baru pulang dari Madinah. ”Apakah keadaan yang berlaku di kalangan orang ramai? Apakah berita tentang seorang lelaki yang mengaku menjadi nabi?” Mereka akan menceritakan, lelaki itu berkata bahawa wahyu turun ke atasnya dan ayat sekian-sekian telah turun. Pada masa itu saya masih kecil. Saya akan mengingatkan ayat-ayat yang mereka bacakan. Demikianlah sehingga saya telah menghafal banyak ayat al-Quran sebelum saya memeluk islam lagi.

Semua orang Arab menunggu-nunggu orang-orang di Mekah memeluk Islam. Apabila Mekah Mukarramah telah ditawan, setiap kabilah datang berjumpa Nabi S.A.W untuk memeluk islam. Ayah saya bersama beberapa orang lagi sebagai wakil bagi pihak kabilah kami telah turut pergi berjumpa Nabi S.A.W. Baginda S.A.W telah memberitahu mereka hukum-hukum syariat dan mengajarkan kepada mereka tentang solat. Baginda S.A.W juga mengajarkan mereka solat berjemaah. Baginda S.A.W bersabda, ”Sesiapa yang lebih banyak mengingati al-Quran di kalangan kamu ialah lebih afdal untuk menjadi imam.”

Oleh kerana saya selalu mendengar dan menghafal ayat-ayat daripada mereka yang datang dari Madinah maka sayalah orang yang paling banyak menghafal al-Quran. Apabila mereka mencari, mereka mendapati dalam kabilah kami, sayalah yang paling banyak menghafal ayat al-Quran. Maka sayalah yang dijadikan Imam. Pada masa itu umur saya antara enam hingga tujuh tahun. Apabila ada perhimpunan atau pun solat jenazah maka sayalah yang dijadikan imam.” [Bukhari & Abu Daud].

No comments: